Related Posts with Thumbnails

Sabtu, 31 Oktober 2009

KEHIDUPAN SEKARANG





Pertama sekali, syukur alhamdulillah di atas segala kurniaanNya. Pelbagai peristiwa yang telah berlaku sejak saya pulang dari Mesir. Tentunya sehingga ke saat ini, tempoh saya berada di Malaysia merakamkan banyak pengalaman manis dan tak kurang juga pengalaman pahit.
Terima kasih kepada sahabat saya, Majdan yang telah membantu saya untuk menunjukkan peluang kepada saya di UDM. Apapun semangat untuk menjadi ahli akademik di institusi pengajian tinggi merupakan motivasi untuk saya menyambung pengajian saya ke peringkat lebih tinggi. Walaupun pada mulanya,keazaman untuk meneruskan pengajian peringkat sarjana adalah di Universiti al-Azhar, namun ketentuan dariNya adalah segala-galanya. Alhamdulillah, walaupun tidak dapat sambung di sana, insyaAllah saya akan menyambung di tanahair sendiri dan saya akan menuju ke arah itu pada bulan Julai tahun hadapan. Doakanlah agar dipermudahkan.

Semester satu bagi sesi 2009/10 hampir tamat dan pada 1 November, bermulalah peperiksaan terakhir buat semua pelajar Universiti Darul Iman Malaysia dan saya menganggap sepanjang tempoh semester ini, terlalu banyak pengalaman dan perkara baru yang saya perolehi. Bagi saya kaedah pengajaran dan pembelajaran jika dibandingkan dengan sekolah dan universiti tentunya berbeza. Saya ditugaskan untuk mengajar Bahasa Arab kepada pelajar-pelajar yang telah mempunyai asas di dalam bahasa arab di peringkat SPM. Kesimpulan yang dapat saya buat sepanjang tempoh pengajaran saya lebih kurang 3 bulan di sini memperlihatkan bahawa pelajar-pelajar kebanyakannya berminat untuk menguasai bahasa ini. Namun kaedah pengajaran dan suasana merupakan masalah yang dihadapi oleh mereka. Mereka masih terikat dengan cara pembelajaran di sekolah yang lebih menjurus ke arah "target untuk peperiksaan" yang membawa pelajar kepada menguasai teknik menjawab soalan dan hafalan sahaja tanpa memahami apa yang dipelajari dengan baik khususnya bahasa arab. Tidak dinafikan bahawa segelintir pelajar dapat menguasai dengan baik daripada segi pemahaman dan lain-lain, namun ia adalah angka yang sedikit. Saya dan sahabat-sahabat saya sedang membuat kajian dan usaha ke arah memupuk minat pelajar mendalami bahasa arab mengikut tujuan asal pengajaran dan pembelajaran bahasa arab itu sendiri.

Pelajar-Pelajar BAHTERA semester 1

Pelajar-Pelajar SYARIAH A Semester 1

Pelajar-Pelajar Lelaki SYARIAH A

Pelajar-Pelajar Lelaki USUL B

Pelajar-Pelajar USUL B Semester 1



Pada hari Khamis 22 Oktober adalah merupakan kelas terakhir saya bagi kod kursus bahasa arab ini. Majoriti pelajar-pelajar adalah berlatarbelakangkan pengajian sekolah agama. Tahap semua pelajar lebih kurang sama dan tiada terlalu tinggi dan tiada yang terlalu lemah. Mungkin pada mulanya, saya tidak mendapat gambaran sebanar mengenai kaedah pengajaran dan pembelajaran di universiti di Malaysia, tetapi alhamdulillah, dengan pertongan sahabat-sahabat dan pensyarah yang lain, sedikit sebanyak membantu walaupun tidak mengikuti kursus secara formal.
Pelajar AQSA A Semester 1

Pelajar DAKWAH Semester 1




Pada 24-26 Oktober lalu, saya telah mengikuti bengkel pentaksiran UDM bersama pensyarah-pensyarah UDM daripada pelbagai fakulti yang terdapat di sini. Bengkel berkenaan dikendalikan oleh Prof. Zulkifli bin A. Manaf yang pakar tentang bidang pendidikan ini. Di dalam bengkel tersebut, kami didedahkan dengan sistem pengajaran dan pembelajaran di universiti yang sistematik dan di dalam bengkel tersebut lebih menumpukan tentang "learning outcomes" atau hasil pembelajaran atau حصيلة التعلم yang merupakan perkara penting untuk merancang pengajaran kepada pelajar dan seterusnya dapat mencapai objektif dan ilmu yang hendak kita sampaikan. Selain itu juga, bagaimana untuk mencapai learning outcomes tersebut, ia mestilah berhubung kait dengan assessment atau penilaian yang perlu dilakukan oleh pengajar terhadap pelajar mereka dengan pelbagai teknik dan cara. Kaedah-kaedah ini tidak jauh bezanya dengan pengajaran di sekolah, cuma bagi saya, teknikal dan pelaksanaannya sahaja yang sedikit berbeza. Apapun, banyak input yang saya dapat daripada bengkel tersebut.


Peserta-peserta bengkel bergambar kenang-kenangan


Akhir sekali, di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada sahabat karib saya sejak di sekolah menengah yang baru sahaja mendapat tawaran kerja sebagai Felo Akademik di UDM dan kebetulan jawatan tersebut adalah sama dengan saya di sini iaitu Akhi Mohd Firdaus. Tahniah juga kepada sahabat beliau yang juga merangkap sahabat saya yang mendapat tawaran yang sama iaitu Akhi Shaferul Hafes yang merupakan anak jati "ganu kite" ini. Beliaulah yang banyak memperkenalkan loghat ganu kepada kami- "oren peng"-.

Dari kiri : Firdaus, Shaferul, Lokman dan Syuhada'

Kepada semua yang akan menempuhi sebarang peperiksaan dalam masa terdekat ini, saya mengucapkan SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN dan perbetulkan niat. Moga Allah permudahkan segalanya dan kejayaan yang kita perolehi akan mendapat keberkatan daripadaNya. Tiada gunalah kejayaan yang cemerlang jika tidak mendapat redha dariNya.



Teruskan membaca.... Read more

Sabtu, 10 Oktober 2009

ISU PURDAH

Sekali lagi hati ini terguris bilamana para ulama dipermainkan.Inilah bahananya jika pekerjaan yang dilakukan langsung tidak berpaksikan iman dan adab.Sikap pembaca pula terlalu cepat menghukum dan memberikan komentar. Saya mendengar khabar daripada beberapa sahabat, sudah ada yang menggunakan laman facebook untuk mengecam dan mengutuk Syaikhul Akbar Dr Sayyid Muhammad Tantawi hafizahullah.Seringkali kita memberikan nasihat dan pesanan kepada akhbar Tanah Melayu yang sering bersekongkol dengan akhbar dunia yang lain agar melakukan penelitian sebaiknya kepada setiap pernyataan yang dikeluarkan.

Berkali-kali kita sebutkan , selepas ini jika berita dan akhbar Melayu mengeluarkan sesuatu pernyataan kontroversi tentang pendapat para ulama maka perkara pertama yang perlu dipasakkan di dalam minda sidang pembaca ialah “ BOLEH DIBACA NAMUN PERCAYA JANGAN”. Kamu tak takutkah dengan hukum Allah taala kerana sering mempermain-mainkan para ulama.

Ingatlah, daging ulama itu beracun. Jangan bermain-main dengan maruah seorang ulama.

Pendapat yang dikeluarkan oleh Syaikhul al-Akbar Dr Sayyid Muhammad Tantawi hafizahullah jelas bertentangan dengan apa yang dikeluarkan oleh akhbar Malaysia.Lain yang diucapkan oleh Syeikh, lain pula yang mereka masukkan ke dalam akhbar milik mereka.Kalau ya pun inginkan akhbar picisan milik kamu terjual laku di pasaran, usahlah lakukan fitnah kepada para ulama sehingga sedemikian rupa.

Apa yang diterangkan oleh IslamOnline dapat menjelaskan segala kekusutan yang berlaku. Saya diminta berkali-kali oleh sahabat-sahabat untuk membahaskan isu ini. Sikap saya yang pertama, tidak mahu terlalu cepat meletakkan hukum kepada ulama yang kita kenali sangat wara’ di dalam mengeluarkan sesuatu hukum.

Secara jelasnya , Syaikhul Akbar tidaklah melarang @ mengharamkan ( seperti bahasa yang digunakan oleh Akhbar Malaysia) pemakaian niqab secara mutlak. Malah larangan ini hanyalah kepada sekolah dan pusat pengajian yang di dalamnya hanya terdapat wanita sahaja. Ini bermakna, jika terdapat lelaki di dalam kawasan tersebut, maka dibenarkan untuk memakai niqab bagi wanita. Apa yang kita kesalkan, akhbar Malaysia jelas menyebarkan berita yang bertentangan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Syaikhul Akbar.

IslamOnline juga menerangkan bahawa, Syaikhul Akbar bukanlah menentang pemakaian Niqab kepada wanita. Malah beliau amat-amat menghormati pandangan wanita yang ingin mengekalkan pemakaian niqab.Namun, apa yang beliau tentang ialah kesalahfahaman yang berlaku dan meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.Bahasa mudahnya, mengamalkan agama bukan pada tempat yang sepatutnya. Jika sesebuah institusi tersebut ahlinya terdiri daripada golongan wanita semata-mata, apa faedahnya mereka memakai niqab?? Ini yang ingin Syaikhul Akbar terangkan dan bawa kepada masyarakat. Bukannya seperti yang disebarkan oleh akhbar-akhbar picisan yang seolah-olah mengatakan bahawa niqab ingin diharamkan seratus-peratus kepada golongan wanita muslimah.

Manakala isu tohmahan terhadap Syaikhul Akbar yang mengatakan bahawa beliau menghina pelajar wanita tersebut dengan mengatakan bahawa “ Aku lebih mengetahui tentang agama daripada kamu dan orang-orang yang mendidik kamu” jelas merupakan fitnah terhadap Syaikhul Azhar. Perkataan ini langsung tidak diucapkan oleh Syaikhul Akbar. Ini jelas putar belit yang dilakukan oleh akhbar yang memang terkenal suka mencari publisiti murahan dengan melakukan penghinaan terhadap para ulama.

Penjelasan lanjut boleh dilihat di IslamOnline.

Inilah senario masyarakat sekarang, ulama terlalu dipandang rendah dan hina. Malah dianggap tiada langsung kedudukan disisi mereka. Saya tidak mahu membahaskan isu sama ada niqab ini benar-benar merupakan tuntutan agama atau sekadar adat seperti yang disebutkan oleh Syaikhul Akbar.Ini merupakan permasalahan khilaf dikalangan para ulama.Khilaf di dalam permasalahan ini bukanlah merupakan perkara usul yang boleh membawa kepada kekufuran. Malah ianya cuma khilaf di dalam permasalahan cabang agama. Terlalu dangkal golongan yang ingin melakukan tohmahan kepada Syaikhul Akbar Dr Sayyid Muhammad Tantawi hafizahullah hanya kerana beliau mengatakan bahawa niqab ini hanyalah merupakan adat.

Orang zaman sekarang lebih suka percayakan akhbar yang ditulis oleh wartawan yang tidak diketahui peribadinya berbanding mempercayai ulama muktabar.

Saya sangat tertarik dengan penjelasan yang diberikan oleh Fadhilatus Syaikhuna Habib Ali al-Jufri hafizahullah bilamana ditanya pandangan beliau berkenaan pendapat Syaikhul Akbar tentang “ Harus Memberikan Infaq Kepada Pembinaan Gereja”. Kata Syaikhuna Habib Ali al-Jufri hafizahullah(secara ringkasnya) :

“ Sepanjang pengetahuan saya perkara ini merupakan sepakat daripada para ulama mengatakan bahawa tidak dibenarkan untuk kita memberikan bantuan terhadap pembinaan gereja.Cuma ianya dibenarkan untuk pihak kerajaan memberikan bantuan jika keadaan memerlukan seperti yang berlaku di Gaza setelah peperangan antara Yahudi laknatullah dan tentera Islam.Kerajaan Hamas ketika itu memberikan bantuan kewangan untuk pembinaan gereja yang runtuh akibat peperangan tersebut. Secara jelasnya, saya menyebutkan perkara ini dengan ilmu saya yang sedikit berbanding Syaikhuna al-Akbar Dr Sayyid Muhammad Tantawi hafizahullah.Mungkin Fadhilatul al-Imam al-Akbar pernah terjumpa pendapat ulama yang mengatakan bahawa dibenarkan untuk memberikan bantuan kepada pembinaan gereja.Manakala saya dengan sedikitnya ilmu pengetahuan yang ada pada saya maka tidak dapat saya memberikan pendapat sepertimana yang diberikan oleh al-Imam al-Akbar Dr Sayyid Muhammad Tantawi hafizahullah.”

Nah, inilah sikap sebenar seorang ulama dan sikap seorang pendengar yang tidak cepat menghukum.Malah meletakkan adab yang terlalu tinggi terhadap para ulama.

Moga kita semua dapat mengambil sifat terpuji yang ditunjukkan oleh para ulama kita di dalam memberikan pendapat dan berbeza pendapat.



Wartawan-wartawan akhbar perlu menilai perkara ini dengan teliti.Muslim yang baik bukanlah yang terjatuh ke dalam lubang sebanyak dua kali walau telah diperingatkan berkali-kali.

**********

Ya Allah, Aku bersaksi kepadaMu, jikalau aku tidak mampu menjadi seorang ulama, maka cukuplah diriku menjadi khadam kepada para ulama, membela mereka daripada ditohmah walau diri ini tergadai.. Moga mereka akan memberikan syafaat kepadaku kelak dengan Rahmat dan InayahMu Ya Rabbal A'lamin...

Sumber asal : www.nazrulnasir.blogspot.com

Teruskan membaca.... Read more

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP