Related Posts with Thumbnails

Khamis, 1 Julai 2010

KALIMAH SYUKUR

Syukur alhamdulillah dengan segala ketentuanNya. Syukur di atas nikmat yang Dia kurniakan. Syukur di atas semua perkara. Syukur segalanya. Perkataan syukur mungkin mudah bagi kita menuturkannya, tetapi adakah di sebalik ungkapan Alhamdulillah itu, kita sertakan dengan amalan-amalan yang menandakan kita bersyukur kepadaNya? Bersyukur mestilah diiringi dengan muhasabah diri. Kita perlu bersyukur di atas setiap perkara lebih-lebih lagi nikmat-nikmat yang tidak kita jangkakan. Setiap nikmat mungkin akan melalaikan kita jika ianya tidak disertai dengan keimanan dan ketaqwaan. Nikmat itu mungkin menjadikan kita lupa diri dan ianya tidak mustahil untuk Yang Maha Berkuasa menarik balik dan menimpakan bala ke atas mereka yang lalai. Na'uzubillahi min zalik. Moga-moga kita terdiri daripada mereka yang sentiasa bersyukur. ALHAMDULILLAH.

Untuk post kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman sepanjang mengajar di UniSZA dan perbezaan di antara mengajar di sekolah dan universiti. Perkara ini mungkin tidak sama bagi setiap induvidu, tetapi saya cuba untuk berkongsi pengalaman saya sendiri. Alhamdulillah, hampir genap setahun berada di UniSZA, banyak perbezaan yang dapat saya rasai sama ada persekitaran, pemikiran, cara mengajar dan belajar dan sebagainya. Pengajaran di sekolah lebih kepada content dan sukatan yang disediakan. Pelajar lebih tertumpu kepada peperiksaan. Kebanyakan mereka 'disuap' oleh guru-guru tanpa diberi peluang berdikari. Bagi saya, ia merupakan suatu perkara biasa dan setiap perubahan tentunya secara berperingkat. Al-Quran juga diturunkan secara berperingkat sesuai dengan keadaan yang berlaku. Manusia juga akan dapat menjadi matang secara berperingkat. Tentulah di universiti akan menjadikan pelajar lebih berdikari. SCL atau pembelajaran berpusatkan pelajar dipraktikkan di universiti sekarang. Pensyarah menjadi pemudah cara dan sebagai rujukan. Tetapi pemantauan daripada pensyarah merupakan perkara penting dalam membentuk mahasiswa yang berkualiti. Bukan yang dimaksudkan menjadi rujukan hanya sekadar menyampaikan ilmu yang beliau ketahui tetapi sikap dan contoh ikutan itu adalah asas pembentukan jatidiri mahasiswa. Pendidik sentiasa dinilai oleh pelajar.

Alhamdulillah, selepas setahun lebih menunggu untuk menjadi pelajar rasmi, kini menjadi kenyataan dengan pendaftaran ke USIM pada 8hb Julai nanti dalam bidang Sarjana Bahasa Arab Komunikasi. Ada orang bertanya, kenapa tak masuk UIAM sedangkan saya mendapat tawaran ke sana... Bagi saya, semua itu adalah kehendak diri saya sendiri. Yang penting usaha, doa dan tawakkal. Semua keputusan yang diambil adalah berdasarkan keyakinan dan doa.

Sebelum meninggalkan UniSZA minggu lepas, kami bertiga sempat mengadakan majlis perpisahan dengan staf Jabatan Bahasa Arab. Tidak dapat dinafikan bahawa kekuatan jabatan adalah melalui hubungan silaturrahim yang rapat. Sepanjang pemerhatian saya, ukhwah merupakan suatu perkara penting di dalam melaksanakan sesuatu tugasan. Saling tolong-menolong, berkongsi idea dan saling menerima pendapat antara satu sama lain menjadi asas kuat kepada jabatan selain daripada kepakaran dalam bidang masing-masing. Tahniah kepada Ketua Jabatan dan sahabat-sahabat JBA yang telah menjalankan amanah yang diberi dan kita mengharapkan sikap sedemikian berterusan sepertimana ditaujihatkan oleh Ketua Jabatan yang mengharapkan agar gerak kerja yang kita lakukan istiqamah bahkan lebih baik lagi daripada sebelum ini.

Akhir sekali, doakanlah kejayaan kami yang mula menyambung pengajian. Semoga dapat pulang menyumbang sedikit sebanyak  kepada jabatan dan fakulti. Ameen ya Rabb.

Di bawah adalah gambar di sekitar majlis perpisahan.




2 Kritikan dan Cadangan:

MofiR 17 April 2013 pada 9:07 PG  

Ustaz Fauzi memang pulon!

Personal Injury lawyer 6 Oktober 2020 pada 1:38 PTG  

Instantly communicate with a Personal Injury lawyer, if you have undergone an accident. An attorney can help in collecting all the evidence and safely submitting it in court. Further, he or she strives for justice and acts as your representation. Besides, all these cases can be challenging to be proved.
More Blogs for cases:

Amputation Injury Lawyer
Arthritis Disability & Workplace Lawyer
Aviation Accident Lawyer
Car Accident Lawyer in Texas
Car Accident Lawyer in California
Car Accident Lawyer in Florida

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP