Related Posts with Thumbnails

Khamis, 19 Jun 2008

SELAWAT KE ATAS NABI KELEBIHAN DAN RAHSIA (PART 1)


إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيماً


56. Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi Segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); Wahai orang-orang Yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta Ucapkanlah salam sejahtera Dengan penghormatan Yang sepenuhnya.

Sebab penurunan ayat tersebut : Imam Al-Wahidi menyebut di dalam kitab
(أسباب النزول) daripada Kaa’b bin A’jzah R.A berkata : Telah ditanya kepada Rasulallah S.A.W : Sesungguhnya kami telah mengetahui tentang salam ke atas kamu maka bagaimana pula tentang selawat ke atas kamu? Maka turunlah ayat yang tersebut di atas.


Tafsir ayat tersebut :

Sesungguhnya diutuskan Rasulallah S.A.W dengan segala kebaikan kepada umat sebagai pembawa khabar gembira bagi orang-orang yang beriman dan pembawa peringatan kepada orang-orang yang kufur. Baginda sangat menginginkan hidayah terhadap umat sepertimana firman Allah S.W.T :


لَقَدْ جَاءكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَؤُوفٌ رَّحِيمٌ -التوبة


128. Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), Yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan Yang ditanggung oleh kamu, Yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang Yang beriman.

Dan kita melihat betapa sayangnya Rasulallah kepada umatnya ketika diturunkan kepadanya

وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَى -الضحى

5. Dan Sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga Engkau reda - berpuas hati.

Setelah turunnya ayat ini, baginda tidak mengambil harta kekayaan mahupun memikirkan perkara-perkara yang menguntungkan diri baginda sendiri tetapi apa yang diinginkan oleh Rasulallah hanyalah umatnya iaitu baginda tidak akan tenang jika terdapat seorang daripada umatnya yang berada di dalam neraka.


Rasulallah begitu mengambil berat tentang umatnya, jadi semestinya bagi mereka berselawat ke atas baginda kerana setiap kebaikan yang diperolehi oleh baginda meliputi kepada semua umatnya dan ia merupakan keberkatan ke atas mereka. Oleh itu, turunlah ayat tersebut.


Allah S.W.T telah mengkhabarkan kepada orang-orang mukmin tentang kelebihan Rasulallah S.A.W serta kemuliaan baginda dan telah mengangkat kemuliaan tersebut dengan selawat ke atas baginda. Imam As-Sawi berkata : Ayat ini merupakan sebesar-besar dalil bahawa Rasulallah S.A.W merupakan pembawa rahmat dan sebaik-baik makhluk yang tiada bandingnya berdasarkan selawat daripada Allah S.W.T ke atas baginda yang merupakan suatu rahmat daripada-Nya beserta pengangungan ke atas baginda.Manakala selawat daripada Allah S.W.T ke atas selain baginda, hanyalah semata-mata rahmat daripada-Nya seperti firman Allah S.W.T

هُوَ الَّذِي يُصَلِّي عَلَيْكُمْ وَمَلَائِكَتُهُ لِيُخْرِجَكُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَكَانَ بِالْمُؤْمِنِينَ رَحِيماً-الأحزاب

43. Dia lah Yang memberi rahmat kepada kamu - dan malaikatNya pula (berdoa bagi kamu) - untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya Yang terang-benderang (iman dari taat); dan adalah ia sentiasa melimpah-limpah rahmatNya kepada orang-orang Yang beriman (di dunia dan di Akhirat).

Jadi di sini, kita dapat melihat perbezaan antara selawat tersebut dan kelebihan antara kedudukan Rasulallah daripada selain baginda.


Allah S.W.T memuliakan para malaikat-Nya dan orang-orang mukmin yang berselawat ke atas baginda kerana mereka sama-sama mengikut Allah S.W.T dalam berselawat ke astas baginda dan menzahirkan ketinggian Rasulallah. Sesungguhnya hikmah selawat ke atas baginda tidaklah melainkan sebagi tanda kasih sayang dan terima kasih terhadap apa yang dilakukan Rasulallah kerana bagindalah yang merupakan penghubung terhadap segala nikmat yang sampai kepada kita.


Maka datanglah perintah Allah di dalam ayat tersebut yang boleh difahami dengan lebih jelas seperi berikut : Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah ke atas Rasulallah, agungkanlah segala yang berkaitan dengan baginda, ikutlah syariatnya, banyakkan selawat dan salam ke atas baginda, maka sesungguhnya hak baginda ke atas kamu amatlah besar, bilamana kamu melaksanakannya, nescaya kamu tidak akan dapat menunaikan haknya, dialah penyelamat kamu daripada kesesatan kepada hidayah yang benar, dan melaluinya Allah S.W.T mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya keimanan, dan dialah tempat berlindung kamu pada hari akhirat kelak, maka ungkapkanlah ketika mana disebut nama baginda yang mulia dengan lafaz “اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم تسليما كثيرا”

KELEBIHAN DAN RAHSIA-RAHSIANYA
As-Syeikh Abdullah Sirajuddin menghuraikan ayat ini bahawa sesungguhnya Allah S.W.T memerintahkan orang-orang mukmin supaya berselawat ke atas baginda S.A.W dan tidak ke atas Nabi-nabi yang lain untuk menjelaskan kepada mereka tentang kelebihan Rasulallah S.A.W berbanding nabi-nabi yang lain.





0 Kritikan dan Cadangan:

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP